Wednesday, May 14, 2008

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Riba ?

Pengertian Riba

Dari segi bahasa :

Penambahan atau lebihan,sebagaimana firman Allah swt dalam surah al Hajj ayat 5:

فإذا أنزلنا عليها الماء اهتزت وربت- ertinya : "dan apabila Kami telah turunkan air ke atasnnya(bumi),hiduplah bumi itu bertambahlah suburnya "
dan ayat 92 dari surah an nahlأن تكون أمة هي أربى من أمة- ertinya : " adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain "

Dari segi syarak :

Penambahan ke atas barang-barang tertentu( takrif di sisi Hanabilah )
Penambahan ke atas sesuatu barang tanpa memberi ganti semasa proses penukaran barang iaitu penambahan bagi sebelah pihak sahaja ( takrif di sisi Hanafiah ).

Takrifan fuqaha yang menyeluruh bagi riba adalah :

Penambahan ke atas modal yang disyaratkan kepada salah seorang yang melakukan urusan jual beli( penghutang ) tanpa memberi gantian atau tukaran bagi penambahan tersebut ekoran proses penukaran barang tertentu ataupun disebabkan kelewatan menghadirkan barang tukaran atau kedua-duanya sekali pada masa yang ditetapkan.

Dengan kata lain,riba adalah penambahan ke atas modal yang dibayar oleh penghutang kepada pemiutang pada masa yang ditetapkan dengan syarat dan ketetapan tertentu.

Hukum riba :

Riba adalah haram dengan persetujuan fuqaha tanpa sebarang perselisihan samada sedikit mahupun banyak.Pengharaman ini telah disabitkan di dalam Al quran,sunah dan ijma`.

Pengharaman ini berlaku secara berperingkat sepertimana pengharaman arak.Berikut ayat-ayat al Quran bagi pengharaman riba mengikut tertib peringkat pengharamannya :

1- " dan sesuatu riba(tambahan) yang kamu berikan supayanya ianya bertambah pada harta manusia maka riba itu tidak bertambah di sisi Allah,dan apa yang kamu berikan berupa zakat denagan mengharapkan keredahaan Allah maka itulah orang-orang yang dilipat gandakan pahalanya ". surah ar Rum 39 .

2- " maka disebabkan kezaliman mereka (orang-orang Yahudi),Kami haramkan mereka (makanan) yang elok yang mana telah dihalalkan bagi mereka dan kerana mereka banyak menghalang dari jalan Allah.dan disebabkan mereka memakan riba yang telah diharamkan serta mereka memakan harta manusia secara batil,Kami telah menyediakan untuk mereka siksa yang pedih ". surah an Nisa 160 -161 .

3- " wahai orang-orang yang beriman,janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat keuntungan " . surah ali Imran 130 .

4- " orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan lantaran penyakit gila(tidak tenteram),ini kerana mereka mengatakan bahawa jual beli sama seperti riba padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba,mereka yang telah sampai kepadanya larangan tuhannya lalu terus berhenti maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu dan urusannya terserah kepada Allah,manakala orang yang masih mengulangi riba maka itulah penghuni-penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya.Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah dan Allah tidak menyukai semua orang kafir yang selalu berbut dosa. " . surah al Baqarah 275- 276 .

- “wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya” . surah al Baqarah : 278-279 .

Hadis-hadis yang mengharamkan riba juga terlalu banyak dan antaranya adalah :

- “Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) “ ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

- "Dilaknat pemakan riba,pemberinya,penulisnya dan kedua saksinya,mereka semua sama dalam hal tersebut" ( Hadis dari Jabir bin Abdullah diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim.Lafaz ini dari Muslim )

- “ Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya..” (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

- "Sedirham riba yang dimakan anak Adam lebih teruk di sisi Allah dari 36 zina" ( Riwayat ad Daruqutni,al Baihaqi dan Ahmad )

Imam An-Nawawi rh berkata : “Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang pengharaman Riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama , antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi” .

Dapat difahami di sini bahawa riba adalah salah satu daripada dosa besar yang wajib dijauhi umat islam.Kesimpulan bagi nas-nas pengharaman riba di atas adalah seperti berikut :
a. Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT :

Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya”. al Baqarah 278-279 .

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya.

Zahir ayat ini juga membayangkan peperangan itu juga berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah bagi seseorang dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini.

Ibn Abbas r.a diriwayatkan berkata :

Ertinya : “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT” .

Berkata Abu Hanifah rh pula : “ Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan” .

Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :

Ertinya : “Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya” .

Berkata Imam Qatadah rh : “ Allah menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya dimana sahaja mereka berada” .

b. Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Allah SWT berfirman :

Ertinya : “Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah” . al Baqarah 276

Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-
Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang dan habisnya harta dari pemilik dalam bentuk yang tidak berfaedah, sehinggalah ia akan merasa miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), antaranya juga harta tadi akan menjadi sebab ringanya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harat yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul.
Sabda Nabi SAW dari Ibn Mas’ud r.a :-
Ertinya : “Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa ” .
Di Akhirat : Berkata Ibn Abbas r.a :
Ertinya : “Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya” .
c. Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri
Nabi SAW bersabda :

Ertinya : “ Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya..”.
d. Lebih Berat dari 36 Kali Zina.
Nabi SAW bersabda :

Ertinya : “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali ” .
e. Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar
Ia berdasarkan hadith nabi SAW :

Ertinya : “Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) “ ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tuesday, May 13, 2008

MAQASID ASSYAR’IYAH

Dalam istilah umum Maqasid Assyar’iyah ( مقاصيد الشرعية)disebut juga sebagai Maqasidul Islam(مقاصيد الاسلام) . Ianya boleh juga diertikan dengan tujuan-tujuan diturunkan syariat Allah Taala. Secara umum ianya berpandukan kepada ayat Allah Taala di dalam surah al Maidah: ayat 3:
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu Deen kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi Deen untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
(Al Maidah: 3)

Turunnya ayat di atas bermakna telah sempurna deen ini, dan pelengkap ajaran terdahulu. Kita tidak berhajat lagi kepada syariat2 lain.

Firman Allah Taala dalam surah Al Anbiya: 107
“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Berdasarkan ayat di atas dapatlah kita memahami bahawa syariat Islam adalah untuk rahmat sekalian alam hinggakan binatang-binatang juga .

Di sini diturunkan beberapa pandangan ulama berkaitan Maqasid Assyar’iyah:

Al Imam ‘Iz bin Abdis Salam; “Sesungguhnya syariat ini keseluruhannya mendatangkan kemaslahatan; sama ada menolak kerosakan atau mengambil kebaikan”.
Syekhul Islam Ibn Taimiyyah: “Sesungguhnya syariat Islam telah mendatangkan kemaslahatan dan menyempurnakannya dan menghapuskan kerosakan dan mengurangkannya”.
Assyatibi dalam muwafaqat assyatibi: “Syariat diletakkan untuk kemaslahatan manusia. Ini merupakan maqasid Asyar’iyah”.

Jenis-Jenis maqasid Assyariyah

Kemaslahatan manusia yang dibawa Islam ialah mewujudkan dan memelihara. Ianya dibahagikan kepada tiga bahagian:-

1. Ad Druriyah; iaitu tidak tertegak kehidupan manusia tanpanya, dan seluruh kehidupan mereka akan musnah dan rosak. Dharuriyat pula terbahagi kepada lima perkara:-

  • Memelihara Agama seperti jihad.
  • Memelihara diri seperti melaksanakan qisas.
  • Memelihara akal seperti hudud.
  • Memelihara keturunan seperti hudud.
  • Memelihara harta benda seperti hudud.

2. Al Hajiah; iaitu perkara yang diperlukan oleh manusia untuk menjadikan kehidupan mereka senang. Apabila tidak ada perkara ini, sistem kehidupan mereka tidak akan rosak tetapi mereka akan menghadapi kesempitan dan kesusahan. Contohnya; Rukhsoh ketika berada dalam kesempitan dan talak.

3. Attahsiniyah; iaitu kembali kepada adat-adat yang baik dan kemuliaan akhlak. Apabila hilang perkara tersebut maka terkeluarlah manusia daripada fitrahnya yang sempurna.

Rujukan: Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Dakwah.

Wednesday, May 7, 2008

PERANAN WANITA DALAM KELUARGANYA

Di dalam Al-Qur'an telah ditetapkan, semua penetapan dan perintah ditujukan kepada kedua pihak, laki-laki dan wanita, kecuali yang khusus bagi salah satu dari keduanya. Maka, kewajiban bagi kaum wanita di dalam keluarganya ialah menjalankan apa yang diwajibkan baginya.

Jika dia sebagai anak, kemudian kedua ibubapanya atau salah Seorang daripadanya menyimpang dari batas yang telah ditentukan oleh agama, maka dengan cara yang sopan dan bijaksana, dia harus mengajak kedua ibubapanya kembali ke jalan yang baik, yang telah menjadi tujuan agama, disamping tetap menghormati kedua ibubapa.
Wajib bagi setiap wanita (isteri-isteri), membantu suaminya dalam menjalankan perintah agama, mencari rezeki yang halal, menerima dan mensyukuri yang dimilikinya dengan penuh kesabaran, dan sebagainya.

Wajib pula bagi setiap ibu, mengajar anak-anaknya taat kepada Allah, yakni dengan menjauhi larangan-Nya dan menjalankan perintah-Nya, serta taat kepada kedua ibubapanya.

Kewajiban bagi setiap wanita terhadap kawan-kawannya yang seagama, iaitu menganjurkan untuk membersihkan akidah dan tauhidnya dari pengaruh di luar Islam; menjauhi fahaman-fahaman yang bersifat merosak dan menghancurkan sendi-sendi Islam dan akhlak yang luhur, yang diterimanya melalui buku, majalah, filem, dan sebagainya.

Dengan adanya pengaruh-pengaruh luar, yang ditimbulkan oleh sebagian kaum Muslimin terhadap wanita yang kurang kefahamannya terhadap Islam, maka hal inilah yang menyebabkan mereka terpengaruh pada peradaban Barat dan ideologinya.

Harus diakui, bahwa sebahagian wanita di dalam masyarakat Islam belum memberikan hak-hak mereka sepenuhnya. Harus diketahui, bahawa suara pertama dari kaum wanita dalam menguatkan dakwah dan risalah Muhammad saw. ialah suara Khadijah binti Khuwailid r.a. kepada Rasulullah saw.: "Demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakan engkau sama sekali. Sesungguhnya engkau menghubungkan silaturrahim sesama manusia, keluarga dan melakukan kerja berat, memberi kepada orang yang memerlukan, menerima dan menghormati kepada tetamu, serta menolong orang-orang yang menderita."

Orang pertama yang berperanan sebagai syuhada ialah Ummu Amr binti Yasir yang bernama Sumayyah, dia bersama suaminya diseksa, agar mereka keluar dari agama Islam. Namun mereka tetap bertahan dan sabar, sehingga dia mati syahid bersama suaminya. Ketika Rasulullah saw. melintasi mereka, dan melihat mereka diseksa, lalu Rasulullah saw. berkata kepada mereka, "Sabarlah wahai Al-Yasir, sesungguhnya kita nanti akan bertemu di syurga."

Rujukan : Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Dipetik dari Majalah "Al-Ummah, bil. 66, Februari 1986.

Wednesday, April 23, 2008

QAUL SOHABI (UCAPAN SAHABAT RASULULLAH)

Qaul Sohabi adalah termasuk dalam perselisihan para ulama dari sudut menjadikan dalil hukum. Dalil hukum terbahagi kepada dua bahagian:
Itfak; Maksudnya dalil-dalil yang disepakati ulama dan ianya terbahagi kepada empat sumber iaitu al Quran, al hadis, Ijmak Ulama dan Qias.
Ikhtilaf- Maksudnya sumber hukum yang diperbincangkan di kalangan ulama sama ada boleh dijadikan sumber huku ataupun tidak. Sumber tersebut terbahagi kepada 11 dan antaranya adalah Qaul Sohabi.

Maksud Sohabi seperti yang bahaskan di kalangan ulama adalah berdasarkan:-
Sesiapa yang melihat Rasulullah
Mereka itu beriman dengan Rasulullah
Mereka itu hidup bersama Rasulullah

Selepas wafat Rasulullah, para sahabat bangun menjawab persoalan yang timbul. Mereka tentunya memberi fatwa dan menyelesai permasalahan yang berlaku dalam masyrakat. Persoalannya, bila sahabat memberi fatwa adakah fatwa tersebut dikira sebagai sumber kepada mujtahid untuk dijadikan dalil. Di sini mulalah berlakunya ikhtilaf ulama.
1. Sebahagian ulama mengatakan qaul sohabi sebagai hujah syariah. Wajib bagi mujtahid mengambil qaul sohabi sekiranya tidak terdapat di dalam al Quran, al Hadis, Ijmak atau Qias. Jika sekiranya berlaku pula ikhtilaf di kalangan sahabat maka para mujtahid perlu membuat pilihan. Pendapat berujah kemungkinan benar ijtihad sahabat itu lebih utama daripada salah kerana para sahabat hidup di zaman wahyu. Mereka lebih maklum sebab Nuzul.
2. Sebahagian lain mengatakan qaul saohabi adalah bukan hujah syariyah. Mujtahid tak wajib ambil qaul sohabi. Hujahnya sesungguhnya kita wajib mengikut kitab dan sunnah sahaja dan apa yang ditunjukkan oleh ijmak dan qias. Ijtihad sahabat boleh membawa benar atau salah. Namun demikian kemungkinan salah adalah sedikit.

Kesimpulannya Qaul Sohabi bukan hujah yang wajib diambil oleh mujtahid tetapi kita mengambilnya apabila tidak ada dalil di dalam al Quran, al Hadis, Ijmak atau Qias. Sekiranya tidak ada dalil lain yang muktabar maka qaul sohabi adalah lebih utama.

Wallahu ‘aklam.

Rujukan: Dr. Abdul Karim Zaidan, Al wajiz fi Usul al Fiqh